Tokoh-tokoh Pengarang Karya Agung




KETOKOHAN PENGARANG KARYA AGUNG

PENGENALAN

Sesebuah karya diterima sebagai karya agung setelah meneliti secara terperinci ciri-ciri yang perlu ada untuk melayakkan diterima sebagai karya agung. Terdapat empat aspek yang diteliti untuk mengiktiraf sesuatu karya sebagai karya agung. Ciri-ciri tersebut ialah lambang dan pesanan yang ingin disampaikan, nilai budaya, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa. Keagungan sesebuah banyak bergantung kepada seni kepengarangan. Keagungan karya terpapar pada kebijaksanaan dan kehandalan pengarangnya menyampaikan ceritera. Daya cipta pengarang atau kebebasan seninya tidak semestinya diikat oleh tradisi ini. Pengarang tidak selalu berusaha untuk menutup sesuatu kesalahan malah pengarang cuba menceritakan perkara sebenar yang berlaku.

1) RAJA ALI HAJI

Nama sebenar Raja Ali Haji ialah Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1804 di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Beliau merupakan kerabat bangsawan Melayu-Riau yang berasal daripada keturunan Daeng Bugis. Raja Ali Haji merupakan keturunan kedua ataupun cucu kepada Raja Haji Fisabilillah iaitu Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Beliau telah meninggal dunia di Riau sekitar tahun 1873. Raja Ali Haji dibesarkan dalam istana dengan suasana yang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Pada tahun 1822, ketika beliau masih kecil beliau pernah dibawa orang tuanya ke Betawi, Jakarta. Pada ketika itu, bapa Raja Ali Haji iaitu Raja Haji Ahmad menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral Van Der Capellen di Betawi. Hal ini menjadikan puteranya iaitu Raja Ali Haji untuk menemui banyak ulama bagi mendalami ilmu agama terutamanya tentang ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering ditemui olehnya ialah Saiyid Abdur Rahman Rahman al-Mashri. Selain itu juga, Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau.

Selain dapat mendalami ilmu Islam, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil daripada pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T.Roode dan Van Der Waal yang kemudiannya menjadi sahabatnya. Pada tahun 1827, Raja Ali Haji pergi ke Mekah dan beliau bersama bapanya. Mereka merupakan antara anak Raja Riau pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangkamasa yang agak lama. Semasa di Mekah, Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Setelah pulang dari Mekah, Raja Ali Haji disuruh oleh saudara sepupunya yang memegang jawatan sebagai Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII untuk mengajar agama Islam di pulau itu. Sepupunya itu juga turut sama-sama mendalami ilmu agama dengan tunjuk ajar Raja Ali Haji. Setelah beberapa lama mendalami ilmu agama, Raja Ali Haji mula mengajar penduduk Riau dengan ilmu nahu, ilmu sharaf, ilmu usuluddin, ilmu fiqh, ilmu tasauf dan banyak lagi. Raja Ali Haji bukan sahaja pakar dalam ilmu agama malahan juga dalam ilmu dunia sehinggakan ramai yang belajar daripada beliau sehinggalah menjadi tokoh terkemuka seperti Raja Haji Abdullah yang kemudiannya menjadi Yamtuan Muda Riau IX.

Bukunya yang bertajuk Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga jilid atau juga disebut sebagai penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama di nusantara. Beliau juga menulis Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai (Hukum Nikah) dan Syair Sultan Abdul Muluk. Satu lagi karyanya yang menjadi karya agung bagi masyarakat Melayu ialah Tuhfat Al-Nafis yang bererti bingkisan berharga tentang sejarah Melayu dan juga Bustanul Katibin. Raja Ali Haji turut menulis Mukaddimah Fi Intizam iaitu berkaitan undang-undang dan politik.

Raja Ali Haji banyak menulis buku-buku terutamanya yang berbentuk sajak, syair dan juga bentuk ilmiah yang lain. Penulisan beliau yang bertajuk ‘Bustanul Katibin’ yang ditulis pada tahun 1850 dan ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang ditulis pada tahun 1858 merupakan satu bentuk tulisan tentang kepentingan bahasa. Dalam kedua-dua kitab ini, beliau banyak menyentuh aspek bahasa. ‘Bustanul Katibin’ merupakan karya awal beliau yang menceritakan tentang tatabahasa bahasa Melayu sehingga membolehkan para pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaannya lagi.

Sumbangan Raja Ali Haji yang setrusnya ialah menerusi penulisannya yang bertajuk ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ yang banyak membincangkan kelas atau golongan kata, menghuraikan unit tatabahasa dan membincangkan aspek sintaksis sekaligus menjadi kamus pertama karya masyarakat tempatan sebelum abad ke-20. Kitab ini juga dijadikan sebagai kamus ekabahasa tertua di alam Melayu. Bahagian kamus dibincangkan secara terperinci sehingga menampakkan sebagai kamus terbaik dan boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam kalangan masyarakat pembaca. Entri dalam kamus ini juga dikatakan disusun dengan baik dan mudah difahami dengan contoh perkataan yang mencukupi selain memperlihatkan ciri-ciri morfologi dan juga sintaksis.


2) ABDUL SAMAD AL-FALAMBANI 
Nama sebenar Abdul Samad Al-Falembani ialah Syeikh Abdul Samad Al-Falembani. Beliau telah dilahirkan pada 1116 Hijrah bersamaan 1704 Masihi di Palembang. Nama asal tokoh ini dikatakan mempunyai tiga versi. Versi pertama adalah seperti yang diungkapkan dalam ensiklopedia Islam iaitu dikatakan nama asal beliau ialah Abdus Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi kedua pula merujuk kepada sumber-sumber Melayu sebagaimana yang ditulis oleh Azyumardi Azra dalam bukunya yang berjudul Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII dengan mengatakan bahawa nama asli ulama besar ini ialah Abdul Samad bin Abdullah Al-Jawi Al-Falembani. Versi yang terakhir pula menyatakan bahawa apabila merujuk sumber-sumber Arab, nama lengkap Syeikh Al-Falembani ialah Sayyid Abdus Samad Abdurrahman Al-Jawi.

Dari segi salasilah, nasab Abdul Samad Al-Falembani berketurunan Arab iaitu dari sebelah bapa. Bapanya, Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab merupakan seorang ulama besar yang berasal daripada Yaman yang kemudiannya telah dilantik menjadi mufti bagi negeri Kedah pada sekitar awal abad ke-18. Ibunya bernama Radin Ranti pula merupakan seorang wanita Palembang yang dikahwini bapanya sebelum menikahi Wan Zainab yang merupakan puteri kepada Dato’ Seri Maharaja Dewa di Kedah ketika itu.

Syeikh Abdul Samad mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri, Syeikh Abdul Jalil di Kedah. Kemudian bapanya menghantar kesemua anaknya termasuk Syeikh Abdul Samad mengaji pondok di Pattani. Pada zaman itu dikatakan Pattani menjadi tempat semua orang Islam untuk menuntut ilmu-ilmu akhirat mengikut sistem pondok secara lebih mendalam lagi. Syeikh Abdul Samad bersama beberapa orang saudaranya yang lain iaitu Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah dihantar ke pondok-pondok yang terkenal oleh bapanya seperti Pondok Bendang Gucil di Kerisik, Pondok Kuala Bekah dan Pondok Semala yang terletak di Pattani. 

Abdul Samad telah berguru dengan pelbagai ulama. Di antara gurunya yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdul Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Kepada ulama inilah beliau mendalami pelbagai ilmu agama sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Samad al-Falembani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Beliau juga turut mempelajari ilmu sufi daripada Syeikh Muhammad bin Saman selain mendalami kitab-kitab tasawuf daripada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin al-Sumaterani yang mana kedua-duanya berasal daripada Acheh. Syeikh Abdul Samad merupakan seorang ulama yang rajin menulis. Antara hasil tulisannya ialah:

1) Zahratul Murid Fi Bayani Kalimatit Tauhid.
2) Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah.
3) Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin.
4) Siyarus Salikin Ila ‘Ibadati Rabbil Alamin.
5) Al-‘Urwatul Wutsqa Wa Silsiltu Waliyil Atqa.

Abdul Samad al-Falembani merupakan seorang ulama Islam yang banyak menghasilkan karya. Melalui penulisan yang dibuat, Abdul Samad secara tidak langsung memberikan sumbangan yang tidak terhingga dalam dunia penulisan sastera Islam. Beliau juga dikatakan banyak mengkritik individu yang mengamalkan ilmu tarekat secara berlebihan.

Abdul Samad juga telah membantu umat Islam di Patani dalam melawan keganasan penjajah. Dalam satu peperangan, beliau telah dilantik menjadi antara orang penting untuk pasukan perangnya. Sheikh Abdul Samad bankyak memberikan sumbangan ilmiah apabila beliau sering menjadi rujukan masyarakat setempat berhubung dengan hukum agama selain mengajar anak-anak di kampungnya mendalami Islam.

3) ABDULLAH MUNSYI
Munsyi Abdullah merupakan bapa kesusasteraan moden kerana mampu memperkenal unsur baru dalam bidang kesusasteraan. Munsyi Abdullah atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau dilahirkan pada hari Ahad, 7 Safar tahun 1976 Masihi bersamaan 1211 Hijrah di Kampung Masjid, Melaka iaitu juga dikenali Kampung Pali oleh orang-orang Keling waktu itu. Kelahiran Abdullah ini berlaku setelah lapan bulan selepas Inggeris mengambil Melaka dari tangan Inggeris. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik seibu sebapa dan kesemuanya lelaki. Namun begitu, ketiga-tiga adik beradiknya meninggal dunia semasa kecil. Beliau berketurunan keluarga peranakan Arab dan India. Ibunya bernama Salamah dan bapanya Syeikh Abdul Kadir.

Pada usia 11 tahun, beliau telah menerima gelaran “munsyi” yang membawa maksud “guru” daripada askar Islam di Melaka. Pada usia semuda itu, beliau berjaya melayakkan diri menjadi guru lantaran kepintaran dan keilmuannya. Lantas beliau menjadi guru mengajar pelajaran agama kepada askar-askar Islam di Melaka.

Beliau diberikan nama Abdullah kerana ibunya mengambil nasihat daripada seorang guru agama iaitu Habib Abdullah Hadad. Nasihat tersebut diberikan setelah ketiga adik beradik beliau meninggal dunia sewaktu kecil. Munsyi Abdullah mendirikan rumah tangga sewakru berumur 34 tahun, setelah tujuh tahun belajar dan bekerja dengan orang-orang Inggeris di Melaka.

Abdullah meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun di Jeddah. Beliau meninggal sewaktu pelayarannya ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji kerana diserang penyakit kolera. Kisah perjalanan perjalanan ini dicatatkan dalam Kisah Pelayaran Abdullah ke Judahyang tidak tamat. Sejak kecil, Munsyi Abdullah dididik supaya mementingkan pelajaran. Antara individu yang memberi pendidikan awal kepada beliau ialah bapa, Neneknya Peri Achi, dan bapa saudara sebelah ibu, Ismail Lebai dan Muhammad Latif. Bapa dan neneknya adalah orang yang berpengetahuan. Bapanya telah menerima pendidikan yang cukup seperti belajar mengaji al-quran, belajar bahasa Tamil dan Arab serta ilmu kira-kira. Lantaran latar belakang ayahnya yang berpendidikan menyebabkan beliau turut diajar dengan pelbagai ilmu.

Menurut Shellabear (1947) Neneknya, Peri Achi seorang guru besar di Pali. Abdullah ketika itu belum berusia 6 tahun sentiasa bergaul dengan anak-anak yang belajar mengaji, menulis dan membaca. Secara langsung mendorong minatnya untuk belajar. Menjelang usia tujuh tahun, Abdullah telah diberikan permainan kalam resam dan papan loh. Hal ini menyebabkan dia cepat pandai menulis dan membaca.

Munsyi Abdullah juga mempelajari ilmu kira-kira atas dasar minat beliau ke atas ilmu tersebut. Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam mempelajari bidang bahasa. Beliau bukan sahaja belajar Melayu tetapi juga bahasa Tamil dan bahasa Arab, Bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi. Beliau telah mempelajari bahasa-bahasa tersebut sewaktu beliau sendiri yang mengajar bahasa Melayu kepada paderi-paderi Inggeris spserti paderi Milne, Thompson dan sewaktu bekerja dengan Tuan Raffles serta askar-askar Inggeris,. Dalam tahun 1810, ketika berusia 14 tahun beliau telah menguasai bahasa Melayu, Tamil, Hindustan dan Arab dengan baik. Beliau pernah belajar bahasa Melayu daripada Datok Sulaiman dan Datok Astor. Pelajaran Islam dan al-quran pula didalaminya melalui bimbingan kursus daripada mualim Arab iaitu Mualim Muhyddin.

Beliau amat dikenali dengan penulisan riwayat hidupnya iaitu Hikayat Abdullah. Menurut Siti Aisah Murad(1996) Abdullah menyelesaikanHikayat Abdullah pada 3 Mei 1843. Kemudian diterbitkan pada bulan Mac 1891 di Singapura. Pada permulaan hikayat Abdullah dapat dilihat sikap dan pemikirannya terhadap kepentingan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan ilmu pengetahuan yang lain. Seterusnya Abdullah mengemukakan pandangan terhadap sikap orang Melayu yang mundur berbanding dengan Inggeris yang maju dan sikap-sikap raja yang zalim. Persoalan dasar yang mahu diketengahkan oleh Munsyi Abdullah ialah mengutarakan pandangan dan pendapat kehidupan orang Melayu di negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada tiga belas hari bulan, iaitu Tahun Baru Cina, pukul 7.30 malam telah berlaku kebakaran di kota. Semua barang-barang miliknya seperti hikayat, buku dan pakaian. Lantaran peristiwa tersebut Munsyi Abdullah menghasilkan Syair Singapura Terbakar. Dalam syair ini, beliau menceritakan berkenaan peristiwa yang dilalui dan dirasai ekoran berlakunya kebakaran tersebut.

Pada tahun tahun 125I Hijrah sewaktu di Melaka di Melaka, beliau telah menterjemahkan Hikayat Panca Tanderan. Hikayat ini merupakan hikayat berbahasa Hindu yang berjudul Hikayat Kalilah dan Daminah. Beliau juga telah menyunting “Injil Yahaya” dalam bahasa Melayu dan menerbitkan sejarah Melayu. Karya penterjemahan yang lain adalah “Perhimpunan Saudagar-saudagar”. Beliau juga telah memperbaiki Sejarah Melayu dan Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri.

Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Munsyi Abdullah menggunakan kaedah yang tersendiri semasa mengarang. Karya beliau diciptakan secara kronologi iaitu mengikut urutan peristiwa seperti kelahirannya didahulukan(hikayat Abdullah) dengan perkembangan yang dialami hingga kematiannya. Begitu juga dalam Kisah Pelayaran Abdullah. Plot disusun dengan merujuk kepada siri peristiwa dan kejadian yang berlaku kepada diri sendiri serta alam sekelilingnya.

4) TUN SRI LANANG
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.

Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

5) HAMZAH FANSURI
Hamzah Fansuri adalah tokoh ugama yang menggegarkan dunia melalui puisi-puisi sufinya. Menurut sastrawan Abdul Hadi MW, Hamzah Fansuri merupakan pencipta "syair Melayu" yang bercirikan puisi empat baris dengan pola rima akhir "a-a-a-a". Bakatnya sebagai sasterawan besar terserlah dalam kemampuan dan kreativitinya merubah bahasa lama menjadi bahasa baru dengan cara memasukkan ratusan kata Arab, istilah konseptual dari Al Quran dan falsafah Islam. Bahasa ini kemudiannya menjadi sebagai bahasa intelektual yang dihormati sebab dapat menampung gagasan baru yang diperlukan pada zaman itu. Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur iaitu sebuah kawasan yang merupakan pusat pendidikan Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal.Hamzah mendapat pendidikan di merata tempat seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan negara-negara Arab. 

Sekembalinya ke Barus, beliau menjadi guru agama di Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah ( 1588-1604). Salah seorang pelajarnya ialah Syamsuddin Al-Sumaterani. Hamzah berkebolehan dalam bidang pendidikan dan pernah menjadi penasihat kepada Sultan Aceh dan banyak membantu Sultan Aceh dalam hal pentadbiran negeri. Hamzah bukan sahaja ulama tetapi juga seorang sasterawan. Beliau menguasai bidang agama, fikah, tasawuf, mantik, sejarah, falsafah, dan menguasai pelbagai bahasa seperti Urdu, Arab dan Parsi. Dalam bidang sastera, Hamzah terkenal sebagai seorang penyair. Karangan syairnya banyak mengandungi unsur falsafah yang tinggi. Hamzah telah memperkenalkan sastera sufi atau mistik. Hamzah adalah pengasas dan berpegang kuat kepada Aliran Wahdatul Wujud. Beliau telah mendirikan madrasah dan mempunyai ramai pelajar atau pengikut dan merupakan pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan. 

Hamzah adalah pengarang pertama menghasilkan karya kesusasteraan bercorak keagamaan yang bersifat akhliah atau ilmiah. Karyanya ditulis dalam Bahasa Melayu. Kebolehannya dalam pelbagai bahasa membolehkannya menghayati karya-karya dari bahasa lain. Contoh karya Hamzah dalam bentuk puisi yang berunsur agama dan tasawuf ialah Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Sidang Fakir. Berdasarkan pemikiran beliau yang tinggi dalam karya-karyanya beliau ditempatkan sebagai pelopor kesusasteraan Melayu Moden oleh Syed Naquib Al Attas dan bukannya Munsyi Abdullah seperti yang dikemukakan oleh sarjana Barat.

Pengaruh karya-karya yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri terhadap masyarakat pada zamannya amat besar terutama fahaman Wahdatul Wujud yang disebarkannya. Pengikutnya yang terkenal ialah Syamsuddin Al-Sumaterani.

6) SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI
Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang telah turut mencorak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Diantara sumber tua yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh, Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Mengenai asal-usulnya, tidak diketahui secara pasti bila dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra ini dulunya pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai. 

Aktiviti penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang dimulai oleh Hamzah Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syamsuddin Sumatrani sebagai murid nya. Apa yang ditulis oleh Syamsuddin Sumatrani adalah senada dan seirama dengan fahaman dan tulisan Hamzah Fansuri. Pengetahuan sufi tahap muntahi kedua tokoh ini tidak pernah ditentang oleh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (Syiah Kuala) sepertimana diputarbelitkan dari sudut sejarah dan ilmiyah oleh setengah penulis yang mengatakan Abdul Rauf Fansuri memihak kepada Nuruddin ar-Raniri. Pembicaraan Martabat 7 yang dimulai dari Hamzah Fansuri turun kepada Syamsuddin Sumatrani,turun kepada Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, kemudian kebelakang disokong oleh beberapa orang ulama nusantara seperti Abdus Shamad al-Falimbani. Didalam karya nya ‘Siyarus Salikin’, Abdus Shamad al-Falimbani mengiktiraf karya-karya Syamsuddin Sumatrani sebagai ajaran tasauf peringkat muntahi. Karya-karya Syamsuddin Sumatrani ditulis sebagian berbahasa Arab, sebahagian lagi berbahasa Melayu (Jawi). 

Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi. Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh. Tarikh wafat nya ada dicatatkan oleh musuh pegangannya,Nuruddin ar-Raniri,iaitu pada malam Isnin,12 Rejab 1039H/1630M. Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin Sumatrani. 



SUMBER 



Hashim Awang etc (1990). Mendekati kesusasteraan melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Hassan Ahmad(2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur:Yayasan Karyawan

Siti Aishah bin Murad (1996). Abdullah Munsyi dan masyarakat melayu. Kuala Lumpur:Dewan bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh(2009). Kelopak pemikiran sastera Melayu.Bangi:Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.


















No comments:

Post a Comment