Konsep Karya Agung Melayu



MAKSUD KARYA AGUNG



KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

KARYA AGUNG MELAYU ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.
Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.


KARYA AGUNG DUNIA MELAYU dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.



KONSEP KARYA AGUNG 

Karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamaunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut. Dunia ketamadunan Melayu telah memperlihatkan, terdapat banyak karya-karya agung yang telah dihasilkan.
Karya-karya ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun-tamadun dunia seperti tamadun  Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Karya –karya agung sudah pasti merupakan karya yang berpengaruh yang sekurang-kurangnya membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka, tentang lingkungannya dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya agung ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi, karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Dalam semua tradisi bangsa dan agama, karya agung merupakan “representatif” pada kehebatan sesuatu tradisi. Dalam tradisi Islam misalnya, ada Ihya’ Ulumuddin , tradisi Hindu dengan Bhagavaddita, dan tradisi Kristian dengan Summa Teologica. Dalam tradisi bangsa pula, bangsa Farsi memiliki Shahnameh, bangsa Eropah pula dengan Divine Comedy dan karya-karya William Shakespeare.
Dalam karya agung, terkandung pelbagai rencah kehidupan yang berkait dengan hidup manusia. Penceritaan dalam karya agung melibatkan unsur emosi, penderitaan, tangisan, kesengsaraan, pengajaran, maklumat dan sebagainya. Pembaca dapat menyelusuri segala aspek ini apabila membaca karya agung. Penulis juga membawa kita mengalami pengalaman orang lain di dalam sesuatu karya agung. 
Karya agung Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism, nilai, pandangan hidup, adat, budi, dan kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah dalam sesuatu karya.
Karya agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,d atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun menurun.
Buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) yang mengutarakan perbahasan dan pengertian tentang karya agung Melayu telah mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu, adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung Melayu.
Malah terdapat karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan, dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga kesannya kekal dalam kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Untuk itu, beberapa karya kesusasteraan Melayu tradisional diterbitkan dalam edisi mewah yang menepati ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu iaitu nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu iaitu teknik kepengarangan dan seni bahasa. Semua karya ini memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Konsep Karya Agung ini dapat dilihat melalui karya Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah merupakan salah satu karya agung Melayu yang amat berpengaruh.Hikayat ini merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15. Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu.
Dari sudut falsafah pula, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat terutamanya Melayu kerana keberanian dan budi pekerti yang ditunjukkan. Sepertimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuk sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan [bukan agama] iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha. Jelas, betapa pengarang hikayat ini mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Perkara inilah yang dikatakan bahawa karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi,kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.



No comments:

Post a Comment