Retorik dan Gaya Bahasa Melayu Klasik


KONSEP RETORIK 

Perkataan retorik berasal daripada bahasa Yunani iaitu ‘Rethor’ yang bermaksud pidato. Hal ini merujuk kepada seni penggunaan bahasa dalam pertuturan atau penulisan, iaitu dengan tujuan memujuk, mempengaruhi dan meyakinkan orang. Kebiasaannya, kegunaan seni retorik berkisar dalam karya prosa seperti teks pidato. Retorik juga dikatakan merangkumi seni pemilihan perkataan, susunan ayat dan penggunaan bunga-bunga bahasa (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).

            Menurut Gorys Keraf dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris (2010:1), perkataan retorik diertikan sebagai istilah yang secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Tokoh retorik klasik seperti Plato pula dalam bukunya,Pheadrus berpendapat, retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle pula melihat retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, keadah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, 2010:2).

            Berbalik kepada penumpuan pengkajian iaitu retorik dalam karya Melayu terutama karya agung memperlihatkan orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Hal ini dibuktikan dengan pendapat yang dinyatakan oleh Mohd Affandi Hassan dalam Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Idris, (2010:23) bahawa apa juga usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil memilih retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik. Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk mencapai sesuatu maksud.

            Dalam konteks moden, retorik dikenali sebagai seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada khalayak pendengar mahu pun pembaca. Oleh itu, retorik sewajarnya dikuasai oleh setiap pengguna bahasa bagi mencapai tujuan berbahasa. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30).

            Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa retorik sebenarnya bertujuan mempengaruhi, memujuk dan meyakinkan khalayak pendengar ataupun pembaca. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik dan tersusun. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. (Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, 2010:30). Bahkan, Adenan Ayob, Mohd Rashid Idris dan Mohd Ra’in Shaari, (2010:30) menyebut retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengatahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik. Kedua, penggunaan tentang objek tertentu yang akan disampaikan dengan menggunakan bahasa. 

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK

Perkataan "retorik" menjadi popular dan mula diguna pakai secara meluas semasa berlakunya polemik antara Munsyi dengan seorang tokoh bicara suatu ketika dahulu. Kecelaruan dan salah faham mentafsir makna kata ini telah mendorong Munsyi untuk menulis tentang kata ini dengan harapan semua pihak jelas dan benar-benar faham maksudnya. Dalam hal ini, bagi sesetengah pihak "retorik" seolah-olah membawa konotasi negatif negatif. Ada pendapat yang menyatakan individu yang beretorik ketika berkomunikasi turut dianggap berwibawa serta pandai memanipulasi minda orang lain dengan menggunakan bahasa retorik. Tanggapan salah tentang fungsi retorik dalam kalangan pengguna bahasa seharusnya diperbetulkan. Hal ini demikian kerana retorik mempunyai fungsi yang penting sebagai salah satu bentuk strategi komunikasi berbahasa.

Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.

Terdapat beberapa pemimpin dunia seperti Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Misalnya, Abraham Lincorn dengan kata-katanya "Of the people, by the people, and by the people" sudah sebati dengan kita. Atau kata-kata hikmat Saidina Abu Bakar ketika lantik menjadi pemimpin umat Islam selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW seperti yang berikut : "Saudara-saudara, aku diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik antara kamu semua. Untukl itu jika aku berbuat salah, luruskan aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan penipuan itu adalah pengkhiatan." Perdana Menteri kita juga semasa mula- mula dilantik menjadi kita ada juga menyuarakan kata-kata hikmatnya, iaitu "Bekerja bukan untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya.: Ungkapan-ungkapan tersebut mudah sahaja tetapi dianggap keramat kerana setiap kali diperdengarkan orang akan terpesona dengannya. 

Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini  bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya.Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.

Oleh itu, Munsyi berpendapat sesuatu ucapan atau pidato yang berkesan dan dapat mencapai tujuannya perlulah disampaikan dengan pelbagai teknik dan digabungkan dengan unsur retorik. Hal ini demikian kerana ucapan atau pidato yang dapat memanipulasikan segala unsur retorik yang sesuai tentu kedengaran lebih hebat dan dapat melonjakkan citra penyampainya, selain mampu meninggalkan kesan yang dapat diibaratkan sebagai "halwa telinga dan santapan rohani" para pendengar. Selain itu, kehebatan menyampaikan ucapann atau pidato memperlihatkan kewibawaan dan keterampilan seseorang perucap atau pemidato itu. Jelaslah di sini, retorik perlu dilihat dari perspektif positif kerana tanpanya sesuatu ucapan atau pidato itu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan seperti yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

KONSEP GAYA BAHASA
Gaya bahasa ialah cara pemakaian bahasa oleh pengarang. (Lim Swee Tim, 2003: 56). Tambah beliau, gaya bahasa menjadi pemangkin untuk memudahkan hal-hal yang sukar dan abstrak disampaikan dengan lebih mudah. Selain itu, penggunaan gaya bahasa akan menghasilkan kesan estetika iaitu kesan keindahan dalam karya. Definisi ini sejajar dengan pendapat yang dikemukakan oleh Sulaiman Masri, Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006:446) bahawa gaya bahasa ialah susunan perkataan yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan idea dan perasaan serta fikiran dan maksud dalam penulisannya. Hal ini bermaksud, segala kerja memilih perkataan dengan menggunakan kosa kata yang betul, mudah, tepat, ringkas, sopan dan penggunaan bahasa asing yang tidak keterlaluan sehingga mampu menengelamkan bentuk dan gaya bahasa Melayu dilaksakan oleh pengarang. 


FRASA

Frasa secara umumnya merupakan  kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Manakala menurut ahli bahasa tradisional pula frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang di gabungkan. Manakala menurut ahli bahasa moden pula, frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan. Lazimnya, dalam ayat frasa berfungsi sebagai unsur pengisi kepada subjek, predikat, objek dan keterangan.

Antara ciri-ciri frasa ialah, frasa boleh diperluaskan iaitu dengan menambah perkataan lain. Selain itu frasa juga boleh disisipkan dengan unsur lain misalnya menambah perkataan, perkataan lain di tengah-tengah frasa. Malah, frasa juga merupakan konstituen yang longgar kerana boleh digugurkan mengikut konteks ayat. Bahkan frasa juga bersifat produktif kerana frasa boleh diperkembangkan lagi dengan frasa yang lain. Di samping itu, bentuk frasa juga lazimnya dalam bentuk yang umum dan mempunyai kebolehgantian yang tinggi dengan frasa yang lain. Sungguhpun demikian, frasa merupakan bukan leksikal ataupun bukan perkataan. Frasa terdiri daripada empat jenis frasa iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama. 

Frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya   kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu atau sederetan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain. 

            Frasa Adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan berfungsi sebagai predikat dan unsur keterangan dalam predikat. Secara umumnya frasa Adjektif terdiri daripada sembilan jenis iaitu, Frasa Adjektif Sifatan Atau Keadaan, Frasa Adjektif Warna, Frasa Adjektif Ukuran, Frasa Adjektif Bentuk, Frasa Adjektif Waktu, Frasa Adjektif Jarak, Frasa Adjektif Cara, Frasa Adjektif Perasaan, dan Frasa Adjektif Pancaindera.


Frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut. Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga,oleh dengan, sampai, tentang dan sebagainya.


KLAUSA 

Klausa merupakan deretan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang terdiri daripada dua jenis iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas. Klausa bebas merupakan klausa yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan klausa lain. Manakala klausa tidak bebas merupakan klausa yang memerlukan klausa lain untuk melengkapkan struktur ayat. Lazimnya klausa tidak bebas hadir dalam ayat majmuk. 


PENGARUH BAHASA ASING

Pengaruh bahasa Sanskrit
Pengaruh bahasa Arab 

sumber: http://karyaagungmelayu.blogspot.com



ANALISIS RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK


PENDAHULUAN
Seni retorik dan gaya bahasa merujuk kepada seni pemakaian dan penggunaan bahasa dalam sesebuah karya agung. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010 :1326), retorik boleh didefinisikan sebagai kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Tujuan adanya seni retorik dan gaya bahasa ini adalah untuk menjadikan sebuah karya itu menarik dan indah untuk mempengaruhidan meyakinkan para pembaca. Retorik turut berkaitan dengan seni memilih perkataan, memilih susunan ayat dan menggunakan bunga-bunga bahasa. Berikut adalah peneltian terhadap Bustan al-Katibin mengenai Retorik Dan Gaya Bahasa Melayu Klasik berdasarkan empat ciri. Ciri-ciri tersebut ialah konsep retorik Melayu klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa dan pengaruh bahasa asing yang digunakan oleh pengarang.

KARYA PILIHAN: BUSTAN AL-KATIBIN
Bustan al-Katibin atau judul lengkapnya, Bustanul Katibin Iish Shibyanil Muta’allimin merupakan sebuah karya bahasa Melayu paling awal yang dikarang oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu terulung, iaitu Raja Ali Haji. Karya ini selesai dikarang pada 15 September 1850.

Beliau menekankan bahawa mempelajari bahasa bukan sekadar mengetahui peraturan nahu, susunan ayat, struktur kata, sistem bunyi dan ejaannya sahaja tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya perlu dipelajari dan diketahui oleh orang Melayu. Bahasa dikatakan bertindak sebagai suatu alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar dan yakin tentang alam ciptaan Allah SWT. Pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi fasih bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu sahih dan benar.

Bahasa juga dapat melambangkan budaya, nilai, akal budi dan budi pekerti sosial dan moral bangsa Melayu. Perlambangan itulah yang dikatakan sebagai ‘isi’ sesuatu bahasa itu, bukan sekadar ‘struktur’ fizikal sesuatu bahasa. Keistimewaan Raja Ali Haji ialah beliau telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang telah digariskan dalam pengajian Islam. Dalam Islam, pengajian sesuatu bahasa merupakan suatu bentuk ilmu untuk mencapai makrifat, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan alam dan memperteguhkan keimanan dan ketaqwaan. Pengajian bahasa tersebut merangkumi ilmu-limu seperti ilmu nahu (sintaksis), saraf(morfologi), qawa’id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal(pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya.

Bustan al-Katibin terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian Mukadimah atau pendahuluan, bahagian Fasal yang mengandungi 30 fasal kesemuanya dan bahagian Khatimah, iaitu bahagian penutup.

Bahagian Mukadimah membincangkan tentang kelebihan ilmu, akal, adab dan budi bahasa. Bahagian Fasal pula dibahagikan seperti berikut:
(i)                 Fasal 1- Fasal 9       : Huraian tentang peraturan ejaan Jawi bahasa Melayu (30
                                   abjad daripada bahasa Arab dengan tambahan empat
                                   abjad, iaitu caga, nga dan nya).
(ii)               Fasal 10- Fasal 13   : Huraian tentang kelas kata yang terbahagi kepada tiga
                                      golongan (kelas kata isim, iaitu kata nama, kelas kata
                                      fi’il iaitu kata kerja, kelas kata harf, iaitu kata partikel).
(iii)             Fasal 14 dan Fasal 15: Huraian tentang unit tatabahasa, iaitu ayat/klausa, frasa
                                      dan perkataan yang diistilahkan oleh pengarang sebagai
                                      perkataan-perkataankata-kata dan kata.
(iv)             Fasal 16- Fasal 28     : Huraian tentang binaan sintaksis.
(v)               Fasal 29                     : Huraian tentang prinsip dan peraturan menusun perkataan        
                                     dalam membuat karangan.
(vi)             Fasal 30                     : Sambungan prinsip dan peraturan membuat karangan dan
                                     huraian tentang kaedah membuat surat kiriman.

Bahagian Khatimah atau bahagian penutup pula mengandungi tiga pesanan daripada Raja Ali Haji. Pesanan pertama ditujukan kepada para penuntut supaya sentiasa mematuhi adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Pesanan kedua pula ditujukan kepada para guru. Para guru perlulah mengajar secara tertib mengikut susunan bab dan fasal. Pesanan terakhir ditujukan kepada para penyalin kitab tersebut supaya tidak mengurangkan atau melebih-lebihkan isi kandungan yang terkandung dalam kitab.

SIFAT FIZIKAL KITAB BUSTAN AL-KATIBIN 
Sifat fizikal kitab ini merangkumi dua aspek, iaitu:
(i) aspek penjilidan
(ii) aspek reka bentuk dalaman teks

Aspek penjilidan melibatkan ciri kulit buku atau kitab dan tulang belakang kitab. Kulit buku atau kitab ini diperbuat daripada kulit asli (bonded leather). Kulit kitab tersebut juga dihiasi dengan corak kerawang (deboss) di hadapan dan di belakang kulit kitab. Kitab tersebut dijilid dengan benang yang dijahit ke atas kulit dan kertas kitab tersebut. Tulang belakang kitab pula beralur sendi antara bahagian tersebut dengan kulit hadapan dengan kulit belakang. Terdapat perada emas di bahagian pinggir buku. Pada bahagian atas dan bawah buku mempunyai head band dan reben disediakan sebagai penanda buku. Contoh ciri-ciri fizikal ini dapat dilihat pada gambar di bawah.

Kulit buku bonded leather berkerawang 

Tulang belakang kitab

Aspek kedua dalam sifat fizikal kitab adalah aspek reka bentuk dalaman teks. Reka bentuk dalaman teks merangkumi jenis kertas yang bersifat long life. Jenis kertas ini adalah kertas yang bebas asid. Teks dalam kitab ini pula terbahagi kepada dua, iaitu teks tulisan Rumi dan teks tulisn Jawi. Kedua-dua teks ini dihiasi dengan kerawang di sekeliling teks. 


KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK
Retorik berasal daripada perkataan Yunani ‘rethor’ yang membawa maksud pidato. Konsep retorik dalam konteks moden ialah seni penggunaan bahasa tulisan utau lisan yang membabitkan penyampaian fakta atau idea dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan berdasarkan pengetahuan yang tersusun baik.  Retorik melayu klasik sama seperti retorik moden kerana ia turut melibatkan analisis teks tulisan dan visual.

Dua aspek penting tentang retorik ialah pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan bahasa yang baik dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang akan disampaikan menggunakan bahasa. Retorik mempunyai ciri-ciri umum seperti mempunyai bahasa, pemikiran dan perasaan yang tepat dan baik dalam penulisan atau gaya lisan. Ia juga memerlukan kekemasan dan wacana yang tersusun. Penghasilan retorik yang berkesan perlu melibatkan penggunaan satu daripada empat corak wacana, iaitu pemerian, pendedahan, penghujahan dan penceritaan.

Retorik melayu klasik yang terkandung dalam kitab Bustan al-Katibin dilihat daripada penyampaian ilmu bahasa dengan menggunakan bahasa Melayu klasik. Pemakaian bahasa tersebut merupakan ciri yang ditonjolkan dalam karya agung tersebut selain daripada penggunaan bahasa asing seperti bahasa Arab.

BENTUK BINAAN AYAT
Pengarang Bustan al-Katibin iaitu Raja Ali Haji menggunakan ayat yang panjang atau berbelit atau berulang, penggunaan ayat pasif dan songsang, penggunaan perdu perkataan atau kata pangkal ayat dan kata partikel dalam karya beliau.

Penggunaan ayat yang panjang, berbelit atau berulang terdapat dalam karya ini. Pengarang gemar menggunakan ayat yang panjang dalam penulisan beliau. Sebagai contoh boleh dilihat pada Fasal 11 (Bustan al-Katibin, 2005 : 26) :

Adapun nama itu, nama tiap-tiap sesuatu seperti nama barang yang di atas seperti langit dan matahari dan bulan dan bintang dan pengawak dan awan dan mega, atau barang yang di bawah seperti bumi dan tanah dan bukit dan sekalian haiwan daripada nama manusia dan nama binatang, ya’ni sekalian haiwan, dan nama batu dan kayu dan tumbuh-tumbuhan dan nama alat segala pe(r)kakas dan pakaian dan nama makanan dan minuman dan nama segala ubat-ubatan dan nama segala ba[h]u-ba[h]uan dan nama segala kenderaan dan nama segala permainannya.

Selain itu, Raja Ali Haji turut menggunakan ayat pasif atau songsang dalam Bustan al-Katibin dan boleh dikatakan hampir keseluruhan penulisan ini menggunakan ayat pasif atau songsang. Hal ini kerana Bustan al-Katibin merupakan karya yang mempunyai ciri-ciri penggunaan bahasa sastera klasik. Antara contoh penggunaan ayat pasif atau songsang dalam karya ini ialah pada Fasal (10), halaman 25 :

Bermula yang diperbuat perkataannya itu tiadalah sunyi ia daripada tiga perkara.
(Munculnya sesuatu perkataan itu telah diketahui tentang tiga perkara tersebut.

Raja Ali Haji juga menyelitkan penggunaan kata pangkal ayat atau perdu perkataan dalam penulisan beliau. Kata pangkal ayat termasuklah penggunaan perkataan syahadan, alkisah, dan sebermula. Contoh penggunaan kata pangkal ayat boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah iaitu pada halaman 4 :

Syahadan jika demikian nyatalah apabila tiada ‘ilmu dan ‘akal, ‘alamat tiadalah ia mencium ba[h]u kemuliaan dan sangatlah jinak kehinaan kepadanya, maka terbukalah pintunya, maka masuklah kehinaan itu pada tiap-tiap pintu itu.

Di samping itu, penggunaan kata partikel turut dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin. Penggunaan kata partikel ini boleh dikatakan banyak terdapat dalam karya ini. Kata partikel termasuklah –lah dan –pun. Antara contoh kata partikel yang digunakan dalam karya ini boleh dilihat pada bahagian Muqaddimah halaman 10 :

Syahadan telah engkau ketahui apalah bagi segala perkara yang lima seperti yang tersebut dahulu itu, iaitulah yang menegahkan sekaliannya kita akan mendapat ‘ilmu itu.

FRASA DAN KLAUSA
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 417) , frasa boleh didefiniskan sebagai kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu bahasa. Klausa pula ditakrifkan sebagai unit yang merupakan rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang menjadi konstituen atau bahagian kepada ayat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2010 : 798).

Frasa dan klausa yang digunakan dalam kitab Bustan al-Katibin tidak sama binaannya seperti penggunaannya dalam bahasa Melayu moden. Binaannya tidak dapat ditentukan kerana ayat yang dibina merupakan ayat bahasa Melayu klasik yang panjang dna berbelit-belit.

Walaupun binaannya dalam bahasa Melayu klasik, isi perbincangan dalam kitab ini ada  membincangkan tentang aspek perkataan-perkataan, kata-kata dan kata. Huraian tentang unit-unit tatabahasa ini diterangkan dalam Fasal 14 dan Fasal 15. Perkataan-perkataan merujuk kepada ayat atau klausa. Istilah kata-kata pula merujuk kepada frasa, manakala istilah perkataan bererti perkataan.  

Perkataan-perkataan (ayat/klausa) merupakan didefinisikan sebagai lafaz yang memberikan faedah. Contoh yang diberikan dalam teks kitab Bustan al-Katibin adalah “Berdirilah engkau” yang membawa maksud menyuruh seseorang untuk bangun. Istilah kata-kata yang merujuk kepada frasa pula merupakan kata-kata yang hadir selepas perkataan-perkataan dan ianya melengkapi perkataan tersebut. Contohnya “Si Zaid itu berdirikah ia atau dudukkah ia”. Perkataan tersebut akan menjadi sempurna apabila dijawab dengan “Si Zaid berdiri”.

PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa asing dalam kitab Bustan al-Katibin dapat dilihat dengan jelas apabila pengarangnya, Raja Ali Haji banyak menggunakan istilah-istilah Arab dalam penulisannya. Pengaruh bahasa Arab dalam penulisan beliau mungkin disebabkan oleh latar belakang pendidikannya yang telah mendalami ilmu pengetahuan di Makkah.

Seluruh huraian dalam kitab tersebut yang berkaitan ilmu bahasa Melayu adalah berdasarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab. Istilah-istilah yang digunakan juga dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa Arab dalam penulisan kitab ini dapat dilihat daripada bab permulaan lagi.

Raja Ali Haji telah memulakan bahagian Muqaddimah atau pendahuluan dengan ayat Fifadhilati al-‘ilmu wa ‘l-‘aqlu yang bermaksud pendahuluan ini menyatakan tentang kelebihan ilmu dan akal. Selain itu, beliau juga menyatakan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi Kama qala ‘ n-Nabiyi sallal-Lahu’alaihi wa sallam man yarda ‘l-Lahu bihi khairan yafqahahu fi’d-din yang membawa pengertian “Barangsiapa dikehendaki Allah untuk membuat kebaikan, maka ia diberi pemahaman kepada ilmu agama” (Bustan al-Katibin, 2005: 4).

Penggunaan kata Arab juga dapat dilihat dalam penyataan lima syarat keberhasilan ilmu yang merangkumi al-himmatal-mudarasahal-muhafazatmuzakarah danmutala’atAl-himmat merujuk kepada kesungguhan untuk mendapatkan ilmu. Al-mudarasah pula bererti kuat menderas atau mengulang ilmu yang sudah diperoleh. Syarat ketiga, al-muhafazat bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh hendaklah dihafaz.Muzakarah yang merupakan syarat keempat bererti menyebut-nyebut ilmu itu kepada orang lain agar sentiasa saling mengingati. Syarat yang terakhir merupakan mutala’atyang merujuk kepada menilik ilmu yang dikaji dan memikirkan maknanya (Bustan al-Katibin, 2005: 5-6).

Penggunaan kata Arab juga digunakan untuk merujuk kepada kata nama, kata kerja dan kata partikel. Kata-kata tersebut diterangkan dalam Fasal 10 hingga Fasal 13. Kata Arab yang merujuk kepada kata nama adalah isim, kata kerja (fi’il) dan kata partikel dirujuk sebagai harf. Bukti penggunaan bahasa Arab dinyatakan seperti berikut:
Pertama, pada bahasa ‘Arab isim yakni nama, dan kedua, fi’il yakni perbuatan, dan ketiga harf.  (Bustan al-Katibin, 2005: 26-26)

PENUTUP
Bustan al-Katibin yang dikarang oleh Raja Ali Haji merupakan karya awal mengenai tatabahasa bahasa Melayu yang telah membolehkan pembaca untuk mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat awal pembinaan. Bustan al-Katibin mengandungi perbincangan kepentingan mempelajari bahasa dan huraian dalam konteks bahasa pula luas dan mendalam. Karya ini juga membincangkan aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu yang sesuai bukan hanya untuk pembacaan pada zaman tersebut tetapi masih bermanfaat sehingga sekarang sebagai bahan untuk dikaji dan dibaca. Empat ciri yang terkandung dalam Seni Retorik dan Gaya Bahasa yang dimasukkan oleh pengarang Bustan al-Katibin ialah konsep retorik klasik, bentuk binaan ayat, frasa dan klausa, dan pengaruh bahasa asing. Pengarang menggunakan ayat yang panjang atau berbelit, ayat pasif atau songsang, kata pangkal ayat, kata partikel, pengaruh bahasa Arab dan retorik Melayu klasik dalam Bustan al-Katibin. Bustan al-Katibin secara keseluruhannya merupakan satu karya agung yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan boleh digunakan sebagai rujukan untuk membuat kajian sama ada dari segi kandungan atau nilainya.

SUMBER
Hashim Musa (2005). Bustan al-katibin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan

Nik Safiah Karim (2010). Tatabahasa bahasa melayu: daripada Bustan al-Katibin kepada tatabahasa dewan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Akademi Pengajian Melayu, UM


No comments:

Post a Comment